Monday, 8 May 2017

TEORI KEJADIAN ALAM SEMESTA

Sebelum kita melangkah jauh kepada pembuktian kenyataan penulis, eloklah sekiranya kita berfikir sejenak dan mendalami ilmu tentang kejadian alam semesta. Kejadian alam semesta ini telah pun diterangkan dengan terperinci di dalam kitab purba Al Quran lebih kurang 1400 tahun yang lalu. Belakangan ini, saintis moden juga telah mewartakan teori ‘Big Bang’ sebagai asal kejadian alam semesta ini. Jika anda seorang yang bebas, anda tidak terus menolak teori ‘big bang’ tersebut kerana beranggapan bahawa ia adalah teori rekaan orang-orang kafir semata-mata. Anda harus membuka hati untuk meneliti sesuatu ilmu tersebut, untuk anda memandang kepada realiti sebenar.

Sekarang kita ambil ayat daripada al Quran yang menyatakan tentang proses kejadian alam semesta.

Ayat 30, Surah Al-Anbiyaa’

“ dan apakah orang-orang kafir tidak mengetahui bahawasanya langit dan bumi itu keduanya dahulu adalah suatu yang padu, kemudian Kami pisahkan antara keduanya. Dan dari air kami jadikan segala sesuatu yang hidup. Maka mengapakah mereka tiada juga beriman?”

Daripada ayat di atas, jelas menunjukkan bahawa Allah mengajar kita tentang kejadian alam ini di mana, langit dan bumi disatukan sebelum dipecahkan menjadi tujuh petala langit, dan tujuh petala bumi. Bermaksud bahawa seluruh alam semesta ini dimampatkan sebelum dipecahkan dan alam ini beredar. Air merupakan sumber asal setiap benda hidup di bumi ini.

        Bandingkan pula dengan teori ‘big bang’, Limiter (1902) telah mencadangkan istilah ‘Cosmic Egg’ atau ‘telur alam semesta’ sebagai asal kejadian alam. Pada tahun 1940, George Gamow dan Ralf Alefer mencadangkan bahawa alam semesta ini bermula hasil daripada satu letupan. Pada tahun 1949, teori ‘Big Bang’ telah diperkenalkan oleh Sir Fred Hoyle Hole. Pada tahun 1980 –an, saintis telah mengunjurkan teori ‘Cosmic inflation’ namun, tidak dapat membuktikan teori tersebut. Teori Big Bang adalah antara penemuan yang terhebat dalam bidang astronomi moden. Teori ini menyatakan bahawa alam semesta wujud daripada keadaan yang sangat panas dan tumpat, lalu terjadi letupan yang besar yang menjadikan alam ini. Letupan besar ini berlaku lebih kurang 13.7 bilion tahun dahulu. Teori ini sebenarnya tidak banyak perbezaannya dengan penerangan Allah di dalam alQuran seperti di atas. Yang membezakannya adalah satu pihak ini beranggapan bahawa kejadian ‘Big Bang’ tersebut berlaku secara kebetulan, manakala kita beriman bahawa kejadian alam tersebut diciptakan atas Kudrat dan Iradat Allaw S.W.T. Yakinlah kita dengan kitab alQuran yang telah termaktub di dalamya tentang kejadian alam ini lebih kurang 1400 sebelum pengkaji astronomi moden menemukan teori ‘Big Bang’.

Dalam Surah Adz Dzaariyaat (angin yang menerbangkan), ayat 47, Allah telah berfirman :

 “Dan langit itu Kami bangunkan dengan kekuasaan Kami dan sesungguhnya Kami benar-benar MELUASKANNYA

Ayat di atas menunjukkan bahawa langit dibangunkan dan kemudian diluaskan seluas-luasnya, bermaksud juga bahawa langit itu beredar, atau lebih mudah difahami bahawa alam semesta ini beredar. Bandingkan pula dengan teori sains moden di mana pada tahun 1929, ahli astronomi terkenal, Edwin Hubble telah membuat pemerhatian terhadap bintang-bintang dan galaksi-galaksi, dan membuat kesimpulan bahawa alam semesta ini sedang beredar, kerana Hubble menemukan bahawa cahaya yang dilihat daripada galaksi yang lebih jauh daripada bumi menghasilkan ‘red shift’ yang menunjukkan bahawa ia sedang bergerak menjauhi bumi pada kelajuan yang semakin meningkat. Jadi, Hublle membuat kesimpulan bahawa alam semesta ini sedang beredar. Para ulama mengistilahkan kejadian alam semesta ini sebagai Fatq – Al –Ratq yang bermaksud ‘penyatuan dan pemecahan’.

         Setelah itu, timbul pula persoalan. Apakah yang wujud sebelum kejadian ‘Fatq-al-Ratq’ atau ‘Big Bang’ yang diistilahkan oleh saintis moden? Bagi para saintis moden, mereka mengatakan bahawa sebelum ‘Big Bang’ tidak wujud apa-apa, masa hanya bermula pada kejadian ‘big bang’ tersebut. Penulis tidak memihak untuk menerima teori ini, di mana mereka secara tidak langsung mengatakan bahawa alam ini wujud secara kebetulan, secara tiba-tiba. Ingatlah bahawa tiada perkara yang berlaku di atas dunia ini secara kebetulan, semuanya berlaku atas Qadr Allah S.W.T, semuanya berlaku kerana bersebab. Tidakkah mereka sedar bahawa ‘MASA’ itu juga adalah makhluk? Manusia wajib percaya bahawa Allah adalah Tuhan yang menciptakan alam ini, termasuk ‘masa’, segalanya berada dalam kekuasaan dan pengetahuanNya.

Dalam surah Huud, ayat 7:


         “Dan Dialah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, dan adalah ‘ArasyNya di atas air, agar Dia menguji siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya, dan jika kamu berkata “sesungguhnya kamu akan dibangkitkan sesudah mati”, nescaya orang-orang yang kafir itu akan berkata “ini tidak lain hanyalah sihir yang nyata”.


sumber rujukan:

1-      Kitab alQuran dan terjemahannya
- -    Artikel oleh Dr Hosny Hemdan Hamama yang bertajuk “First Priciple: Fatq-Al-Ratq vs big bang”
1-      www.karangkraf.com - kumpulan media karangkraf, dalam artikel bertajuk Pabila Sains Membuktikan Kiamat

No comments:

Post a Comment