Apakah
maksud bebas? Perkara ini adalah subjektif kepada setiap individu di dunia ini.
Di sini, penulis ingin mengutarakan pendapat penulis mengenai kebebasan.
Kebanyakan daripada kita berpendapat kebebasan adalah apabila kita boleh
melakukan apa-apa sahaja tanpa kekangan atau halangan. Ramai remaja yang ingin
bebas daripada pengawasan ibubapa lalu terjadilah keruntuhan moral di kalangan
belia yang menyumbang kepada peningkatan masalah-masalah sosial seperti
penyalahgunaan dadah, pembuangan bayi, lari dari rumah, jenayah samun, dan
lain-lain. Ini adalah tafsiran bebas yang salah pada pandangan penulis, kerana
mereka yang bertafsiran sebegini hanya mengikut kehendak nafsu amarah yang
sedang membuak-buak. Darah panas remaja dituruti, pantang dicabar, pasti boleh sahaja
dilakukan. Di kalangan pemegang-pemegang amanah, mereka bebas melakukan rasuah,
penyelewengan, penindasan, dan sebagainya. Terdapat hubungan yang semakin teruk
antara golongan pemerintah dan rakyat kerana dalam amalan demokrasi, semua
orang bebas menyuarakan hak dan pendapat masing-masing. Golongan sebegini
adalah tidak bebas sebenarnya, mereka menjadi hamba kepada nafsu amarah mereka
yang hasilnya membawa kemudaratan kepada individu, masyarakat, dan negara.
Allah
telah mengutuskan rasul-rasul Nya untuk menyampaikan syariat Islam supaya
manusia terkawal daripada melakukan kerosakan di muka bumi ini. Ini adalah
fitrah manusia yang memerlukan beberapa peraturan yang mencegah kita daripada
terjerumus kepada kemudaratan. Jika anda fikir bebas adalah ketika anda melanggar
peraturan-peraturan agama, negara, tempat kerja, sekolah, jelaslah anda telah
tertipu dengan bisikan kejahatan di dalam diri anda.
Kebebasan
adalah apabila kita tidak mendahulukan sesuatu melebihi keutamaan kita terhadap
Tuhan semesta alam. Sebagai contoh, sudah menjadi norma kehidupan pada zaman
kini, di mana golongan dewasa menghabiskan waktu sehari-harian dengan berkerja
mencari rezeki sehingga tiada masa terluang untuk perkara yang lain. Jadual
kerja yang ketat dan panjang telah menjadikan manusia seperti robot, hamba,
alat, atau zombie yang telah hilang naluri kemanusiaannya. Sebenarnya, dalam
situasi ini, manusia yang terikat pada zahirnya dengan sistem seperti ini masih
boleh merdeka. Mereka perlu meletakkan pekerjaan mereka tidak melebihi fitrah
kemanusiaan. Orang yang bebas, walaupun nampak sibuk dengan kerja, namun itu
bukanlah alasan baginya untuk tidak menikmati kehidupan bersama keluarga,
rakan-rakan, dan alam sekeliliing. Orang yang bebas melaksanakan amanah yang
diberikan sebaik mungkin, namun tidak meletakkan perkara itu sebagai tuhan di
hati mereka. Orang yang bebas tidak menjadikan rutin kerja harian sebagai
halangan untuk mereka menjadi khalifah di dunia ini. Orang yang bebas tidak
zalim, mereka meletakkan sesuatu sesuai pada tempatnya. Orang yang bebas tidak
menjadi hamba kepada wang ringgit, tetapi mereka bersyukur dengan pemberian
Allah yang maha kaya. Tidak ada resah gelisah di hati orang yang benar-benar
bebas, kerana tiada rantai atau gari ghaib yang membelenggu mereka. Mereka
yakin ketentuan Allah adalah yang terbaik tanpa ragu-ragu.
“Tentang suatu apapun yang kamu perselisihkan, maka keputusannya
(terserah) kepada Allah. Itulah Allah Tuhanku yang kepadaNya aku bertawakkal
dan kepadaNya jualah aku kembali. (Dia) pencipta langit dan bumi. Dia
menjadikan dari kamu daripada jenis kamu sendiri pasang-pasangan dan daripada
jenis binatang ternak berpasang-pasangan, dijadikannya kamu berkembang biak
dengan jalan itu. Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Dia dan Dialah yang
Maha Mendengar dan Maha Melihat”. Surah AsSyura, : 10 – 11.
“(Ingatlah) ketika Ibrahim berkata “Ya tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku
sebagaimana Engkau menghidupkan orang-orang mati”. Allah berfirman: “ belum
yakinkah kamu?” Ibrahim menjawab “aku telah meyakinkannya tetapi agar hatiku
tetap mantap (dengan imanku). Allah berfirman “(kalau demikian) ambillah empat
ekor burung lalu cincanglah kesemuanya. Lalu letakkan di atas tiap-tiap satu
bukit satu bahagian dari bahagian-bahagian itu. Kemudian, pangillah mereka.
Nescaya mereka datang kepadamu dengan segera. Ketahuilah bahawa Allah Maha
Perkasa lagi maha Bijaksana”. (Surah Al Baqarah : 260)
Daripada
ayat di alQuran di atas, jelaslah bahawa sebagai manusia yang berfikir dan
menjadi khalifah di muka bumi ini, kita akan selalu berada dalam
persoalan-persoalan tentang hakikat alam ini. Sedangkan Nabi Ibrahim A.S pun
dititahkan untuk melakukan suatu penyelidikan, bagi membuktikan dan menambahkan
keimanannya terhadap kekuasaan Allah. Ibrahim yang mempunyai tauhid yang
terulung, namun tetap mempunyai persoalan tentang kejadian alam, tetapi tidak
sekali-sekali meragukan Allah. Malah persoalan yang timbul telah menguatkan
lagi iman Ibrahim terhadap kekuasaan Allah S.W.T. Begitulah contoh yang patut
kita turuti. Tidak salah sekiranya kita sebagai khalifah bumi ini mempunyai
persoalan tentang apa-apa sahaja di dalam alam semesta ini. Lakukanlah pelbagai
kajian daripada pelbagai sudut, sehingga penggunaan teknologi paling canggih
sekali pun, kajian-kajian kita itu, akan menguatkan lagi keimanan kita terhadap
Allah S.W.T. Inilah kriteria insan yang benar-benar bebas, yang menggunakan
akalnya untuk berfikir, dan melihat kejadian alam ini untuk memikirkan bukti
kebesaran Allah. Janganlah jadi manusia yang berfikiran kolot dan jumud yang
menolak mentah-mentah pemikiran sains moden, kerana mendakwa sains adalah teori
orang kafir untuk menjauhkan manusia daripada Allah. Manusia seperti ini adalah
manusia yang tidak bebas, yang dikongkong oleh ketakutan dan kurangnya
keyakinannya terhadap Allah. Mereka takut teori sains akan menggugat kekuasaan
Allah. Nah, mereka inilah golongan yang tidak mempunyai iman yang kuat, jika mereka
benar-benar yakin, datanglah perkara macam mana sekali pun, keAgungan Allah itu
tidak akan tergugat. Malah, melalui pengamatan teori-teori sains,
kenyataan-kenyataan di dalam AlQuran yang diwahyukan pada sekitar 1400 tahun
yang lepas, telah berjaya dibuktikan pada abad ke 20.
No comments:
Post a Comment