Monday, 8 May 2017

PENDAHULUAN

Bismillaahirrahmaanirrahiim. Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan yang Esa sekelian alam. Solawat dan puji kepada Muhammad kekasih Allah. Terhasilnya penulisan ini adalah atas izin Allah jua, tiada daya dan upaya selain atas kehendakNya. Tujuan penulisan ini adalah bagi menggalakkan pembongkaran fitnah Dajjal dan sekutunya yang menguasai dunia pada era ini, supaya manusia boleh membuat pilihan untuk bebas atau menjadi hamba kepada dajjal dan sistemnya. Bukalah mata, jelas terpampang di sekeliling kita, percaturan di atas nama dajjal sedang menguasai dunia ini. Di mana-mana kita dapat merasakan kewujudan kejahatan yang membuatkan kita merasa seolah-olah sedang hidup di dalam kegelapan yang nyata. Peperangan, negara-negara yang bankrap, sistem demokrasi yang membawa kepada perpecahan, demonstrasi jalanan, perjuangan songsang atas nama hak asasi manusia, keretakan institusi rumah tangga, pemimpin-pemimpin yang tidak amanah, jenayah berleluasa, tembak menembak, bunuh membunuh menjadi perkara biasa, zina berleluasa, pasangan luar tabii semakin ramai, cemuh-mencemuh, pergaduhan, meminum arak jadi satu kebanggaan, perjudian sukar dibendung dan banyak lagi contoh kegelapan yang sedang membelenggu dunia ini. Manusia seolah-olah tiada pegangan atau pedoman. Golongan kaya terus mengumpul kekayaan, golongan miskin terus menderita. Sedih untuk membenarkan bahawa pada masa kini, syariat Islam yang dibawa oleh Rasulullah, difitnah teruk dan dipandang hina oleh dunia. Kita seolah-olah berada di dalam penjara yang luas, menjadi hamba kepada sistem dajjal. Penjara ini begitu ketat kawalannya, sehingga kita berasa seolah-olah mustahil untuk keluar daripadanya. Malah, ramai juga manusia yang suka terperangkap di dalam penjara ini. Ramai manusia sebenarnya tidak bebas, malah mereka sebenarnya hamba kepada sistem dajjal, dipenjara oleh kegelapan.
 Untuk menyelamatkan diri dari menjadi hamba dajjal, kita mestilah memastikan bahawa diri kita ini benar-benar merdeka. Golongan yang merdeka akan membawa kesejahteraan kepada bumi ini, kerana hati-hati mereka akan dipenuhi oleh cahaya kebaikan. Untuk membebaskan diri anda daripada penjara kegelapan ini, hanya anda, ya anda yang boleh melakukannya. Ramai orang boleh menunjukkan pintu keluar daripada penjara ini, tetapi bergantung kepada anda untuk melangkah keluar, atau hidup di dalam penjara itu selama-lamanya. Penulis akan menunjukkan satu pintu keluar, tetapi bergantung kepada anda untuk melangkah masuk ke dalam pintu itu atau tidak. Adakah anda berani melangkaui pintu tersebut? Adakah anda nekad untuk mengetahui apakah yang berada di sebalik pintu tersebut? Jika ya, penulis menjemput anda untuk membaca artikel ini, dan membuat kesimpulan anda di akhir perjalanan. Jika anda ragu-ragu, takut, dan bimbang akan perkara yang bakal terbongkar di sebalik pintu ini, maka teruskanlah kehidupan anda seperti sedia kala, dan apabila anda telah berubah fikiran datanglah kembali ke pintu ini yang sentiasa terbuka.
 Akhir kalam, diharap penulisan ini sedikit sebanyak mampu membantu kita semua melihat sesuatu secara menyeluruh, bukan secara jumud semata-mata. PENULIS BENAR-BENAR BERHARAP SAUDARA YANG MEMBACA PENULISAN INI MEMBACA SATU PERSATU AYAT YANG DINUKILKAN SUPAYA MUDAH DIFAHAMI DAN TIDAK KELIRU. Ketahuilah sesungguhnya kita hidup dikelilingi ilusi. Kita dikelilingi hutang yang sengaja diciptakan, dikelilingi oleh ilusi yang mengelirukan sehingga perkara yang baik dianggap sebagai memudaratkan manakala perkara yang jahat dianggap sebagai kebaikan. Penulis ingin mengajak anda untuk memecahkan ilusi yang membelenggu kita ini dan mampu membuat kesimpulan sendiri tentang situasi dunia pada hari ini. Ilusi dicipta supaya manusia leka dan lalai, dan bergantung harap selain kepada Allah S.W.T. Penulis berharap dapat menemani anda sehingga ke hujung pembacaan ini, dan semoga penulisan ini mendatangkan manfaat kepada kita semua. Kebenaran yang haq adalah milik Allah, tiada satu pun ilmu yang berada di luar kekuasaanNya. Wallaahua’lam….

No comments:

Post a Comment