Monday, 8 May 2017

SEJARAH DUNIA, ADAKAH TEPAT DAN ADIL?

Sejarah ditulis oleh golongan yang menang, atau golongan yang memerintah. Mungkin sejarah dunia yang kita pelajari di sekolah atau di internet bukanlah sejarah yang sebenarnya, tetapi cerita yang dinukilkan untuk kepentingan satu pihak. Ke mana hilangnya sejarah kegemilangan kerajaan-kerajaan Melayu Nusantara seperti Kerajaan Srivijaya, Kerajaan Kedah Tua, Kesultanan Melayu Melaka yang luas (bukan sebesar negeri Melaka kini), kerajaan Majapahit, Kerajaan Johor Riau. Ada sejarahnya tercatat, namun adakah catatan itu benar-benar menggambarkan keadaan sebenar, atau hanyalah catatan yang penuh dengan pengubahsuaian. Penulis percaya sejarah tentang tamadun-tamadun dunia Islam yang gemilang suatu masa dahulu seperti Andalusia, Alexandria, ditutup dan sejarah kegemilangan penjajah Barat dengan agenda 3G (gold, gospel, glory) diwar-warkan, agar pihak Barat dianggap sebagai hero yang terhebat di dunia. Ke mana perginya cerita tentang zaman kegemilangan Andalusia? Mana pula hilangnya catatan-catatan ilmu yang tersimpan di perpustakaan Akexandria (Iskandariah) yang begitu ulung suatu masa dahulu? Ke mana perginya manuskrip-manuskrip mengenai kerajaan-kerajaan di Nusantara yang hebat suatu masa dahulu?

 Umum mengetahui bahawa telah terjadi zaman kegelapan di Eropah selama 700 – 800 tahun. Kita tidak diceritakan dengan tepat apakah yang berlaku dalam tempoh zaman kegelapan tersebut. Apakah yang sebenarnya terjadi pada waktu itu? Ada sumber yang mengatakan bahawa manuskrip-manuskrip sains, astronomi, perubatan yang terdapat di perpustakaan Alexendria telah dibakar pada zaman tersebut. Sejarah kegemilangan Islam, Nusantara dan kerajaan lain mungkin dilenyapkan pada tempoh tersebut. Mungkinkah sebenarnya kerajaan-kerajaan Islam dan kerajaan-kerajaan terdahulu telah lama mengkaji dan maju dalam bidang geologi, astronomi, pembedahan, perubatan, dan lain-lain, tetapi ilmu tersebut dihapuskan dan disimpan oleh penjajah Barat, supaya di mata dunia sekarang ini, merekalah bapa kepada kemajuan sains dan teknologi dunia, tetapi sebenarnya ilmu-ilmu tersebut diperoleh daripada kajian yang dilakukan oleh ilmuwan kerajaan-kerajaan sebelum ini. Hasilnya, Barat diagungkan, diangkat sebagai hero yang menciptakan teori graviti, mencipta elektrik, mencipta telefon, mencipta kereta, mencipta kapal terbang, mendahului bidang astronomi, perubatan, geografi, dan sebagainya. Bangsa-bangsa yang lain hilang jati diri dan kebanggaan terhadap sejarah bangsa mereka, kerana tiada rekod yang menceritakan sejarah kegemilangan bangsa mereka suatu ketika dahulu. Disebabkan perbezaan ini, maka barat mendahului bahagian lain di dunia ini dalam pelbagai bidang. Sangat sukar untuk pihak lain manandingi pencapaian negara-negara Barat kerana pelan penjajahan yang tersusun rapi telah dirangka semenjak dahulu lagi. Namun, semuanya hanyalah terjadi atas keizinan Allah. Tiada sesuatu berlaku secara kebetulan. Semua yang berlaku atas dunia ini ada sebabnya, itulah takdir. Mungkin.....mungkin...mungkin..


Adakah benar manusia zaman Nabi Adam hanya memakai daun untuk menutup kemaluan, menggunakan batu untuk menyalakan api? Hidup di dalam gua-gua dan digelar sebagai orang zaman batu? Sedangkan Allah telah berfirman bahawa nabi Adam telah diajar ‘ILMU SEGALA’ yang di mana seluruh makhluk sujud kepada Adam kerananya. Pada pandangan penulis, memang terdapat kemungkinan bahawa apa yang digambarkan oleh sistem pendidikan masa kini bahawa manusia pada zaman dahulu tiada peradaban adalah SATU PENIPUAN. Bagaimana pula Nabi Nuh A.S mampu membina bahtera yang mampu memuatkan setiap spesies yang ada di muka bumi ini secara berpasang-pasangan? Nah, manusia pada zaman kini pun belum pasti mampu membina sesuatu yang sehebat itu. Jadi, masihkah anda percaya dengan teori zaman batu itu? Adakah anda percaya bahawa manusia ini wujud secara kebetulan dan berevolusi daripada monyet seperti yang dicanangkan oleh Charles Darwin? Bagi penulis, teori evolusi ini adalah auta semata-mata, dicipta oleh golongan yang menidakkan kekuasaan Tuhan. Manusia sudah pastinya dicipta oleh Tuhan, dan Allah telah berfirman di dalam Al Quran bahawa manusia adalah sebaik-baik ciptaanNya. Janganlah kita goyang sedikit pun dengan propaganda yang seperti ini, yang jelas bertentangan dengan al Quran. Nampak tak? Ini adalah contoh pentingnya untuk melihat dengan mata hati berpandukan Al Quran dan Sunnah, agar kita tidak terperangkap ke lembah kekufuran. Sebagai ulang kaji, kita hendaklah sentiasa melatih diri kita untuk melihat sesuatu ilmu itu dari pelbagai sudut. Segala info yang diperoleh perlulah dikaji terlebih dahulu, jangan terus diterima, dan jangan terus ditolak. Jadilah manusia yang bijaksana, dengan panduan daripada Allah S.W.T.

1 comment: