Pada
masa kini, dengan perkembangan teknologi internet, maklumat-maklumat begitu
mudah didapati di hujung jari. Maklumat-maklumat ini boleh menjadi serampang
dua mata, iaitu jika anda tersalah tafsir atau mengikuti maklumat yang salah,
maka anda akan terjerumus ke lembah kehancuran. Sebaiknya, kita kajilah sesuatu
maklumat itu dengan teliti dan dapatkan pandangan orang yang ahli dalam sesuatu
bidang ilmu sebelum menjadikan sesuatu info sebagai tunjang pegangan. Mengenai
penulisan ini, anda telah memasuki pintu yang penulis buka, maka anda mempunyai
pilihan sama ada untuk memanfaatkan maklumat yang akan didedahkan atau
membuangnya seperti sampah jika anda anggapnya tidak berguna, dan berpatah
balik kepada keadaan anda sebelum ini. Tindakan susulan bergantung kepada anda.
Ingat, penulis tidak memaksa anda untuk memasuki ruang ini, jadi anda berhak
untuk meneruskan perjalanan, berpatah balik, atau keluar dari bilik ini melalui
pintu yang lain di hujung perjalanan kita nanti.
Belakangan
ini gerakan kommuniti yang membawa teori-teori konspirasi telah bergerak dengan
pantas. Pengaruh mereka amatlah luas sekali di masa kini. Secara positifnya,
teori-teori konspirasi ini telah membantu kita untuk merungkai teka-teki yang
menjadi ilusi di dunia ini. Daripada pembacaan teori-teori konspirasi, kita
boleh setidak-tidaknya lebih berhati-hati dalam membuat keputusan, kerana lebih
banyak maklumat yang kita peroleh dalam sesuatu perkara. Namun, perlu diingat
bahawa kita perlulah berhati-hati untuk menerima teori-teori tersebut.
Janganlah bersikap jumud dan menerima semua teori yang dikeutarakan. Begitu
juga, janganlah kita terlampau ego sehingga menutup langsung diri kita untuk
menerima sesuatu ilmu yang baru. Kewujudan teori-teori ini pada penulis telah
memberi ruang kepada beberapa kemungkinan yang sebelum ini tidak wujud, lalu
setelah diteliti dan merujuk kepada orang-orang yang ahli dalam sesuatu bidang,
telah membantu penulis untuk menetapkan pendirian, lalu membawa kebaikan kepada
diri sendiri dan masyarakat sekeliling.
Demokrasi
adalah satu sistem pemerintahan yang memberi hak kebebasan bersuara kepada semua
manusia tanpa mengira kedudukan mereka dalam masyarakat. Melalui teori
konspirasi, demokrasi adalah satu alat untuk melaksanakan pecah dan perintah
dalam sistem pemerintahan masa kini, atau penjajahan era baru. Dengan
demokrasi, manusia semakin berpecah belah, bergaduh antara parti-parti politik,
kewujudan ‘Arab Spring’ yang membawa kebinasaan kepada dunia Arab, golongan
‘Lesbian, Gay, Bisexual, Transgender’ (LGBT) semakin bebas menyuarakan hak mereka.
Dilihat juga kesan kerosakan oleh demokrasi terhadap agama Islam, di mana para
wanita digalakkan untuk memperjuangkan hak kesamarataan jantina, sehingga ada
golongan wanita yang mengimamkan solat Jumaat. Banyak lagi contoh-contoh di
mana demokrasi adalah alat yang digunakan untuk pecah dan perintah. Namun, kita
juga perlulah memandang kepada sudut positif demokrasi. Melalui kebebasan
bersuara, banyak pemerintah kuku besi yang zalim telah digulingkan, hak-hak
asasi manusia telah diperjuangkan dengan lebih lantang, dan demokrasi juga
mampu membawa keadilan jika dilaksanakan dengan betul oleh setiap golongan
masyarakat. Namun bagi penulis, sistem demokrasi pada masa ini telah banyak
mendatangkan keburukan daripada kebaikan. Penulis membuka sebarang kemungkinan
yang membenarkan bahawa demokrasi ini sebenarnya adalah alat yang digunakan
oleh satu pihak untuk melaksakan penjajahan secara halus.
Globalisasi.
Dunia tanpa sempadan. Dari sudut yang positif, globalisasi membantu kepada
pertumbuhan perkongsian maklumat, hasil bumi, teknologi, tenaga kerja, dan
sebagainya di seluruh dunia. Globalisasi telah banyak membantu pertumbuhan
ekonomi sesebuah negara. Namun terdapat sudut-sudut negatif globalisasi, di
mana negara-negara terpaksa berlumba-lumba untuk bersaing sehingga membawa
kepada penambahan hutang dan muflis. Terdapat juga peningkatan wabak penyakit
berjangkit akibat pergerakan manusia yang tidak terkawal di seluruh dunia.
Matawang negara-negara kecil sukar bersaing dengan matawang kuasa-kuasa besar
dunia. Bahasa-bahasa ibunda semakin dipinggirkan. Nilai-nilai kebudayaan
sesuatu bangsa semakin pudar akibat terpengaruh dengan kehidupan negara lain
yang lebih moden. Pengaruh-pengaruh negatif seperti penyalahgunaan dadah,
pornografi, arak, perjudian semakin berleluasa. Senjata api lebih mudah
diperoleh. Jenayah semakin ganas dan berleluasa. Manusia semakin hilang
nilai-nilai murni. Daripada hujah-hujah ini penulis membuka kemungkinan bahawa
globalisasi juga adalah agenda yang dieksploitasikan oleh satu pihak yang ingin berkuasa penuh ke atas dunia ini. Namun, penulis tidak menolak terus globalisasi kerana ia
banyak mendatangkan manfaat seperti yang telah dinyatakan di atas. Tanpa
globalisasi mungkin kita tidak mampu menikmati kecanggihan teknologi-teknologi
terkini dan negara kita tertinggal berpuluh-puluh tahun ke belakang jika
dibandingkan dengan negara-negara lain dalam pelbagai aspek. Terpulanglah
kepada seseorang itu untuk mengambil manfaat daripada sesuatu perkara hatta
perkara itu banyak mudaratnya.
Sistem
perbankan dan wang kertas. Sistem ini merupakan asas utama kepada perniagaan
dan ekonomi dunia masa kini. Nilai emas telah digantikan dengan wang kertas,
dan percetakan wang kertas tanpa kawalan akan menjatuhkan ekonomi nasional dan
global. Manusia bekerja sehari-harian untuk mendapatkan rezeki, dalam bentuk
wang ringgit. Sistem perbankan dan wang ringgit telah banyak mendatangkan
manfaat kepada manusia sejak awal kewujudannya. Kita mampu untuk membuat
pinjaman bank untuk membeli rumah, kenderaan atau memulakan perniagaan. Sistem
perbankan juga telah banyak membantu menaikkan pendapatan, dengan mewujudkan
dividen-dividen atas simpanan di bank. Namun, sistem perbankan dan wang kertas
ini juga sebenarnya banyak mendatangkan keburukan. tidak dapat dinafikan hampir
semua sistem kewangan di dunia ini berasaskan riba. Manusia bekerja keras untuk
mendapatkan kertas yang pada masa ini sangat bernilai namun bila-bila masa
sahaja boleh jatuh nilainya. Hutang-hutang telah menambah beban manusia
sehingga kita terlampau fokus dengan kerja dan perniagaan untuk melangsaikan
hutang-hutang tersebut. Ramai pemuda di Malaysia telah diisytiharkan muflis
kerana tidak mampu melunaskan hutang. Terdapat juga negara-negara yang muflis
kerana hutang yang sangat tinggi dengan Bank Dunia (International Monetory
Foundation). Kegiatan jenayah seperti peminjam wang haram (ah long), samun, rasuah
juga meningkat kerana desakan kewangan. Jadi penulis juga membuka sebarang kemungkinan bahawa sistem perbankan ini merupakan salah satu cara yag digunakan untuk satu pihak menguasai ekonomi dunia.
Industri
hiburan. Hiburan adalah keperluan setiap manusia. Tanpa hiburan hidup ini akan
jadi suram. Namun sebagai umat Islam, hendaklah kita berpada-pada dalam
berhibur. Tidak salah untuk mendengar muzik, berkaraoke, bermain alat muzik
asalkan ianya tidak mendatangkan mudarat dan tidak melalaikan kita. Tidak
dinafikan bahawa ada kemungkinan industri hiburan terutamanya Holywood digunakan sebagai senjata pemukauan ‘mind
control’ terhadap umat manusia. Mesej-mesej negative seperti seks bebas,
penyalahgunaan dadah, pergaduhan, kebencian, khurafat, disebarkan secara meluas
melalui industri hiburan. Jadi, kita haruslah berhati-hati dalam berhibur
supaya tidak terjerumus ke lembah jahannam. Tambahan pula, racun ‘mind control’
yang paling bahaya adalah melalui rancangan kanak-kanak. Sebagai ibubapa, kita
harus bijak dalam memilih rancangan hiburan yang bersesuaian yang mampu
mendidik generasi akan datang ke arah kebaikan.
Perubatan.
Ilmu perubatan merupakan ilmu yang penting bagi manusia. Kita mencari ikhtiar
untuk menyembuhkan penyakit dengan ilmu perubatan. Tidak dinafikan bahawa ilmu perubatan moden banyak mendatangkan manfaat kepada umat
manusia. Pengamal-pengamal perubatan moden bekerja keras menjalankan
tanggungjawab untuk memastikan kesejahteraan umat manusia. Kajian demi kajian
telah dibuat untuk memajukan ilmu perubatan moden, yang kini serba canggih.
Ubat-ubatan dikaji dengan teliti sebelum diluluskan untuk kegunaannya oleh
pesakit. Perkembangan dalam bidang pembedahan, sakit puan, obstetric, serta
evolusi kaedah-kaedah diagnosis seperti ‘Magnetic Resonance Imaging’ MRI, CT
scan, imbasan xray, ujian-ujian laboratory telah membawa manfaat kepada dunia.
Kemajuan dalam bidang perubatan juga telah membolehkan saintis menghasilkan
vaksin untuk mencegah penyakit berjangkit. Sudah terbukti bahawa dengan izin
Allah, vaksinasi adalah kaedah yang sesuai digunakan untuk membendung penularan
penyakit-penyakit berjangkit yang berbahaya seperti, measles, mumps, rubella,
pertussis, jangkitan pneumococci, menigococci, dan lain-lain. Namun, telah
wujud teori konspirasi yang mengatakan bahawa vaksinasi adalah kaedah pihak
dajjal dalam menjalankan depopulasi terhadap manusia dengan memasukkan
bahan-bahan berbahaya ke dalam vaksin. Ada juga yang mengatakan bahawa saintis
memasukkan ‘nanobot’ iaitu robot yang bersaiz nano (terlampau kecil) ke dalam
vaksin sebagai alat untuk mengawal manusia. Penulis ingin membuka kemungkinan
kepada kebenaran teori konspirasi ini, tetapi penulis memlilih untuk menyokong
vaksinasi kerana dengan ilmu yang ada, dilihat vaksinasi adalah satu kaedah
yang sangat penting dalam membendung penularan penyakit berjangkit yang mampu
meningkatkan kadar morbiditi dan mortaliti. Kita haruslah bijak dalam menilai
sesuatu perkara. Janganlah terus menolak sesuatu hanya kerana ada pihak yang
menyebarkan dakyah tentang teori konspirasi ini, tanpa memandang kepada
akibatnya kepada masyarakat sekeliling. Ramai di kalangan kita yang terus
menolak perubatan moden, yang akhirnya tidakan mereka ini mendatangkan mudarat
kepada diri sendiri, dan masyarakat. Wabak-wabak yang sebelum ini amat jarang
ditemui sedang muncul kembali seperti penyakit Diphteria. Salah satu puncanya
mungkin kerana wujudnya gerakan anti vaksin yang menyebabkan program vaksinasi
tidak menyeluruh, lalu menggagalkan kewujudan ‘herd immunity’ dalam masyarakat
kita. Penulis tidak menolak kemungkinan bahawa vius-virus mampu dicipta oleh
pihak yang tidak bertanggungjawab melalui teknologi yang canggih. Jika dilihat
virus influenza, ia mempunyai kadar mutasi yang tinggi dengan mengubah
morfologi protein yang menjadi struktur kepada virus tersebut. Pengubahan
kepada protein-protein pada virus tersebut oleh manusia adalah tidak mustahil
dengan kemajuan teknologi ‘genetic engineering’ dan bioteknologi. Penulis tidak
menolak kemungkinan bahawa virus
influenza seperti virus H1N1 dan virus MERScoV, virus Zika, anthrax boleh
dihasilkan melalui kemajuan dalam bioteknologi lalu digunakan oleh pihak yang
tidak bertanggungjawab sebagai senjata biologi. Namun, penulis ingin menekankan
bahawa kita perlu bersikap bebas dan mengambil manfaat daripada kemajuan bidang
bioteknologi yang telah berjaya menghasilkan vaksin untuk mencegah penyakit
berjangkit yang berbahaya. Ikhtiarlah untuk menambahkan kebaikan kepada
masyarakat. Kita tiada bukti yang menunjukkan vaksin mengandungi ‘nanobot’ dan
kejadian ‘adverse effect’ yang teruk jarang dilaporkan pada zaman ini, kerana
vaksin dihasilkan dengan penuh teliti bagi memastikan keselamatannya kepada
manusia. Jika betul ada muslihat di sebalik pemberian vaksin, kita serahkan
perkara itu kepada Allah, kerana Dia lah yang maha kuasa yang mampu mencipta alam
ini daripada tiada. Peranan kita adalah untuk menjalankan tanggungjawab untuk
menambahkan kebaikan kepada ummah. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Yang
jernih itu tidak semestinya tidak berbahaya, tetapi itulah perlunya keimanan
yang tinggi kepada Allah, kita berdoa kepadaNya untuk memelihara kita daripada
kemudaratan.
Terdapat
banyak lagi contoh-contoh teori konspirasi yang telah diutarakan oleh pelbagai
pihak sebelum ini. Penulisan ini juga adalah merupakan suatu teori yang
membongkarkan penipuan besar-besaran yang bolehlah dikategorikan sebagai teori
konspirasi, bukannya fakta yang wajib ditelan kebenarannya. Terpulanglah kepada
kebijaksanaan seseorang itu untuk memberi reaksi yang sesuai terhadap input
ilmu yang diperoleh. Janganlah menjadi seorang yang jumud, menerima sesuatu
perkara dengan membuta tuli, dan janganlah pula terlampau tinggi kesombongan
sehingga menidakkan sebarang kemungkinan kebenaran di atas dunia ini. Ingat,
kita hidup dikelilingi oleh khayalan atau ilusi. Adalah menjadi tanggungjawab
kita untuk memanfaatkan segala ilmu yang baik, dan menghindari ilmu-ilmu yang
mendatangkan keburukan. Sekali lagi penulis ingin menyeru pembaca sekalian
untuk menjadi orang yang adil, bijaksana, tenang, yang boleh menimbangkan
antara manfaat dan kemudaratan. Ini adalah penting supaya kita dapat membuat
tindakan yang sesuai hasil daripada ilmu yang diperoleh, bukannya manambah
kerosakan yang sedia ada di bumi ini.
No comments:
Post a Comment